I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, January 2, 2011

RASUAH PENGHALANG KEMAJUAN NEGARA

Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan Al-Qur'an dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ


Ertinya : " Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." ( Al-Baqarah : 188 )

Disebutkan dalam hadith :-

لَعَنَ رسول اللَّهِ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ في الْحُكْمِ

Ertinya : "Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dll)" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)

Berita Harian : 29/11/2006
|
Rasuah adalah penghalang kepada pembangunan negara dan ia sering dikaitkan dengan amalan tadbir urus yang tidak cekap. Masalah ini bukan sahaja wujud di dalam sektor awam malah di dalam sektor swasta juga.
Rasuah yang berleluasa merupakan cerminan terhadap mutu pentadbiran negara. Kebanyakan kajian tentang kesan rasuah menunjukkan bahawa ia boleh menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah. Ini kerana unsur rasuah menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat kemasukan pelaburan asing ke sesebuah negara.

Selain daripada itu, banyak bukti menunjukkan bahawa negara yang dibebani masalah rasuah mempunyai pasaran saham yang tidak menentu, pengawasan sistem perbankan yang tidak cekap dan pasaran modal yang kecil. Dengan kata lain negara yang mengamalkan rasuah membayar pada harga yang mahal untuk program pembangunannya terutamanya dalam pembangunan ekonomi.

Justeru itu tidak hairanlah mengapa agenda pembasmian rasuah menjadi salah satu daripada beberapa agenda penting yang diberi perhatian utama oleh kepimpinan Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Bukti kesungguhan beliau untuk memerangi masalah ini dapat dilihat melalui penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) pada April 2004 iaitu selepas hanya beberapa bulan dilantik memegang jawatan Perdana Menteri. Seterusnya agenda ini terus dinyatakan secara berterusan di dalam kebanyakan ucapan-ucapan rasmi beliau.

Bagaimanapun Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) baru-baru ini telah menimbulkan sedikit tanda tanya di kalangan masyarakat terhadap keberkesanan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia untuk memerangi gejala tersebut.

Secara kasarnya, kajian yang melibatkan tanggapan masyarakat peniaga dan penganalisa negara terhadap suasana rasuah di Malaysia telah menunjukkan bahawa berlaku sedikit kemerosotan berbanding keputusan laporan tahun 2005 dan 2004 mahupun 2003.

Berdasarkan kepada CPI 2006, Malaysia menduduki tangga ke-44 dunia berbanding tangga ke 39 untuk tahun 2005 dan 2004; serta tangga ke 37 untuk 2003. Begitu juga dari segi peratusan mata yang dicatatkan iaitu 4.9 peratus, merosot jika dibanding 5.1 peratus untuk 2005; 5.0 peratus (2004) atau 5.2 peratus (2003)
Persoalannya di sini ialah mengapa masyarakat peniaga dan para penganalisa menganggap suasana rasuah semakin meningkat di Malaysia? Adakah mereka menganggap tadbir urus di sektor awam dan swasta tidak berada pada tahap yang sewajarnya? Apakah tahap integriti sektor perniagaan dan pentadbiran negara tidak begitu bagus sehingga mereka menganggap rasuah yang juga ada kaitan dengan masalah tadbir urus ini begitu meruncing di negara kita?

Lebih menarik lagi jika kita dapat kaitkan laporan TI ini dengan satu laporan kajian persepsi yang dibuat oleh The Business Ethics Of Malaysia (BEIM) dengan kerjasama University of Nottingham Malaysia dan Kolej Universiti Binary terhadap kepercayaan masyarakat terhadap mereka yang terlibat dalam 15 bidang kerjaya yang terpilih.
Antara kerjaya yang dikaji ialah doktor, guru, profesor, menteri, pemimpin perniagaan dan ahli politik. Keputusannya, tahap kepercayaan responden terhadap ahli politik, pemimpin perniagaan dan menteri adalah rendah sekali. Masing-masing meraih 11%, 16% dan 20% kepercayaan reponden dan berada di senarai tiga terbawah berbanding doktor (72%); guru (67%) dan profesor (58%) yang berada pada senarai tiga teratas.
Kaitan antara kedua-duanya ialah tentang wujudnya persamaan tentang perkara utama yang diukur iaitu tentang soal integriti terutamanya yang melibatkan soal kepimpinan dan tadbir urus di dalam negara.

Dalam CPI, masyarakat peniaga dan penganalisa merasakan rasuah di Malaysia meningkat. Peningkatan ini tentu saja berdasarkan pemerhatian mereka kepada dunia politik dan dunia perniagaan Malaysia. Pada masa yang sama juga responden soal selidik BEIM merasakan mereka tidak boleh mempercayai ahli politik dan tokoh korporat.

Secara tidak langsung kita boleh katakan di sini, permasalahan utama yang membawa kepada isu integriti sebenarnya lebih tertumpu kepada soal kepimpinan dan tadbir urus di dalam sektor awam mahu pun swasta.
Dengan kata lain, jika ahli politik dan tokoh korporat mengamalkan nilai-nilai mulia dalam amalan harian mereka, sudah tentu CPI Malaysia adalah setaraf dengan beberapa negara Scandinavia yang sering mencatat 9.6 - 9.7 peratusan mata untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Setidak-tidaknya pun kita dapat menyaingi Singapura yang berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga ke-5 senarai negara yang paling baik keputusan persepsi rasuah dengan purata 9.4 peratusan mata untuk tempoh 2002-2006.
Walaupun CPI dan kajian BEIM ini merupakan kajian berbentuk tanggapan, ia sebenarnya boleh dijadikan sebagai petunjuk atau panduan untuk menilai tahap rasuah di Malaysia.

Kita tidak seharusnya melihat hasil kajian ini dari sudut yang negatif kerana kita boleh katakan bahawa peningkatan persepsi rasuah yang ditunjukkan oleh CPI tadi terutamanya menunjukkan tahap kesedaran masyarakat tentang bahayanya rasuah dan kepentingan unsur integriti juga meningkat seiring dengan iltizam kerajaan untuk memerangi masalah ini.

Bagaimanapun, untuk mencapai kejayaan dalam usaha pembasmian rasuah, usaha perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh. Walaupun adakalanya kejayaan tidak dapat dicapai sebagaimana yang diinginkan, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan kepada masalah yang dihadapi.

Sehubungan dengan itu usaha-usaha untuk meningkatkan tahap integriti dan memperkukuhkan sistem tadbir urus mesti dipergiatkan. Begitu juga usaha-usaha memupuk nilai-nilai murni di kalangan anggota masyarakat, baik yang muda mahupun yang tua. Usaha-usaha sebegini sememangnya memakan masa. Akan tetapi, ia perlu dimulakan dari sekarang jika kita mahu melihat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 nanti.

No comments:

Post a Comment