I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, January 2, 2011

SPRM PANDANG SERIUS LAPORAN REUTERS

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius laporan agensi berita asing, Reuters semalam, berhubung wujudnya penglibatan pegawai kerajaan negara ini dalam kes rasuah oleh Syarikat Alcatel Lucent SA.
Menurut satu kenyataan SPRM yang dikeluarkan di sini hari ini, dalam laporan terbabit, penglibatan pegawai kerajaan itu membabitkan pembahagian kontrak syarikat telekomunikasi tersebut.
Katanya, sehubungan itu, SPRM akan membuat semakan dengan pihak-pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas sebelum tindakan selanjutnya diambil.
"SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dakwaan ini sehinggalah ia disahkan," kata kenyataan itu.
Dalam laporan itu, Reuters menyatakan Alcatel bersetuju membayar lebih AS$137 juta (RM430.4 juta) untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan Amerika Syarikat bahawa ia melakukan suapan mencecah jutaan ringgit kepada pegawai-pegawai asing untuk memperoleh bisnes di Amerika Selatan dan Asia.
Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Alcatel dituduh membuat bayaran kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk di Costa Rica, Honduras, Taiwan dan Malaysia untuk memperoleh kontrak atau mengekalkan kontrak-kontrak yang diperoleh.
Antara Disember 2001 dan Jun 2006, syarikat tersebut menggunakan khidmat perunding yang menyalurkan lebih AS$8 juta (RM24.7 juta) untuk membayar rasuah kepada pegawai-pegawai terbabit.
Hari ini, sebuah portal berita, The Malaysian Insider yang memetik laporan tersebut berkata, syarikat Telekom Malaysia Bhd. (TM) akan menyiasat dakwaan penglibatan rasuah oleh syarikat itu dalam pembahagian kontrak AS$85 juta (RM267 juta).
Menurut sumber portal itu, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat mendedahkan maklumat berkenaan dua pegawai kerajaan dari Malaysia telah dibayar sebanyak AS$700,000 (RM2.1 juta) bagi mendapatkan maklumat kontrak.

No comments:

Post a Comment